0

Kisah Adam yang tidak cukup tidur

[Musim bola sepak piala dunia 2010 di Afrika Selatan]

''Fuh..perlawanan ini pasti menarik dan mesti ditonton''. Detik Adam di dalam hatinya apabila melihat rancangan televisyen di dalam surat khabar.
''Tepat jam 2.30 pagi nanti, aku mesti bangun dan tonton perlawanan bola sepak ini''. Tambah Adam lagi.

Pada malamnya, Adam tidur awal iaitu pada pukul 10 malam. Hal ini adalah berbeza sama sekali seperti malam-malam sebelumnya di mana dia selalu tidur pada pukul 11.30 malam. Jam loceng di telefon bimbitnya telah ditetapkan pada jam 2.30 pagi agar dia tidak akan terlepas perlawanan bola sepak itu. 

Tepat jam 2.30 pagi, jam loceng berdering dan Adam terus terjaga dan bangun daripada tidurnya dengan begitu bersemangat. Adam pergi ke bilik air, berkumur dan membasuh mukanya. Kemudian, Adam pergi ke dapur dan membancuh secawan milo'O panas. Setelah itu, Adam menghidupkan television dan menonton perlawanan bola sepak yang ingin ditontonnya semenjak daripada siang tadi lagi.

Pada pagi itu, Adam telah berjaga selama hampir 2 jam iaitu daripada jam 2.30 pagi sehinggalah jam 4.30 pagi. Hal ini kerana lazimnya perlawanan bola sepak mengambil masa selama hampir 2 jam untuk ditamatkan. Namun begitu, hal ini tidak termasuk jika sesuatu perlawanan itu melibatkan masa tambahan. Jika melibatkan masa tambahan, pastinya 2 jam tadi tidak mencukupi.

Tepat jam 4.30 pagi, siaran perlawanan bola sepak pun tamat. Adam menutup television, kembali ke katilnya dan menyambung tidurnya kembali.

Jam 5.40 pagi, sebagai seorang muslim yang menjaga sembahyangnya, Adam bangun bagi menunaikan sembahyang subuh. Selesai daripada menunaikan sembahyang, Adam membaca beberapa ayat-ayat Al-Quran yang menjadi rutin hariannya setiap kali selepas subuh. Setelah itu iaitu pada jam 6.30 pagi, Adam tidur bagi mengganti masa tidurnya yang tidak cukup di malamnya.

Jam 8 pagi, Adam bangun setelah tidur selama 90 minit. Kebetulan Adam sedang di dalam cuti semester, maka dia mempunyai masa lapang pada hari itu. Adam mandi dan mengambil sedikit sarapan. Selepas itu, Adam membuka komputer ribanya dan melayari internet sehinggalah jam 12 tengah hari. Kemudian Adam terasa seperti teramat sangat keletihan dan mengantuk. Lantas Adam menutup komputer ribanya dan pergi ke katilnya untuk tidur sekejap.

Jam 1.30 petang, Adam bangun untuk bersembahyang zuhur. Selepas itu, Adam menikmati makanan tengah hari yang disediakan oleh ibunya. 30 minit selepas menikmati makanan tengah hari, Adam masih terasa mengantuk. 2 kelopak matanya sudah tidak mampu untuk bertahan lagi. Lantas buat sekian kalinya, Adam pergi ke katil dan melayani nafsu tidurnya.

Hari sudah lewat petang. Jam sudah menghampiri jam 6 petang. Adam terjaga daripada tidurnya dan sungguh terkejut kerana hari sudah agak lewat. Ibu dan adik-adiknya telah berusaha membangunkannya namun dek kerana terlalu letih dan tidur malam yang tidak mencukupi, Adam tidak menyedarinya. Adam 'tidur mati'

Adam bergegas bangun untuk menunaikan sembahyang asar. Adam menunaikan sembahyang asar di dalam keadaan dirinya yang 'pening-pening lalat' kerana tidur yang terlalu lama sehingga lewat petang. Selesai sembahyang, Adam termenung panjang. Seperti seorang yang di dalam kebingungan, Adam menukarkan pakaianya dan keluar rumah bagi mengambil angin petang. Adam berjalan-jalan di luar rumahnya dengan keadaan matanya yang kuyup layu, muka 'tidak mandi' dan langkah kakinya yang lemah longlai.

Adam singgah sebentar di warung Pak Endot untuk berehat dan menikmati minuman petang. Adam mengambil surat khabar di atas meja dan membuka helaian demi helaian. Sehinggalah tiba di muka surat rancangan television, Adam tertarik kepada rancangan 1 perlawanan bola sepak yang pastinya menarik kerana telah berjaya membuatkan Adam tertarik kepadanya. Perlawanan itu adalah pada jam 2.30 pagi.

''Fuh..perlawanan ini pasti menarik dan mesti ditonton''. Detik Adam di dalam hatinya ketika melihat rancangan televisyen di dalam surat khabar itu.
''Tepat jam 2.30 pagi nanti, aku mesti bangun dan tonton perlawanan bola sepak ini''. Tambah Adam lagi.

...mungkin anda tahu jalan cerita seterusnya. hehe. :r 

[...begitulah kisah ini akan terus berputar dan berpusing kerana 'pi mai-pi mai, tang tu'...] :e 

Pengajaran:

Tidur malam yang mencukupi amat penting untuk kesihatan mental dan fizikal. Oleh kerana Adam telah membazirkan masa 2 jam daripada waktu tidurnya, Adam terpaksa mengambil masa selama hampir lebih 6 jam di siang harinya hanya semata-mata untuk mengganti masa 2 jam itu. 6 jam adalah masa yang begitu panjang untuk melakukan beberapa perkara lain yang penting selain daripada tidur. Begitulah kesannya apabila tidak mempunyai tidur malam yang cukup. :f 

Sesungguhnya masa itu nyawa. :h 

Terima kasih kerana berjaya menghabiskan bacaan cerita ini. Semoga anda terhibur. :Rainbow 

0 comments:

Post a Comment

Back to Top